Software Music Images

WARKAH DARI MEI LING

Jan 18, 2008

Cerpen ini dihasilkan oleh sedikit biasan ilmu dan anyaman mawaddah oleh teman saya... semoga cerpen ini mampu menerbitkan perasaan mawaddah kita diantara satu sama lain... halusilah cerpen ini sepenuh jiwa... insyaallah kalian akan temui persoalan sebenar yang cuba dirungkaikan oleh penulis ini...Azman mengambil dokumen zakat itu buat pemeriksaan terakhir sebelum ia dihantar ke Baitul Mal. Dia meneliti satu-persatu baki kira-kira di dalam dokumen tersebut. Seketika kemudian dia menandatangani di beberapa bahagian dan terus menutup perlahan dokumen itu. Dia mengeliat ke kiri dan ke kanan. Serasa letai dan tidak bermaya. Tubuhnya disandarkan ke atas kerusi moden di dalam bilik penghawa dingin itu. Dia melihat potret yang mengabadikan wajah isteri dan anak tersayang.Tuk! Tuk! Pintu biliknya itu diketuk. Azman sedikit tersentak. "Masuk.." ujar Azman. Pintu bilik itu dikuak. Kelihatan seorang lelaki berkot hitam memasuki bilik itu. Azman tersenyum melihat sahabatnya itu. "Maaf Man, ini ada satu surat untuk kau" getus lelaki itu. "Terima kasih Mir.." getus Azman. Amir Qushairi tersenyum cuma, lantas keluar dari bilik itu. Dia melihat warkah itu. Surat itu tidak bersetem. Perlahan dia membukanya. Matanya terpaku pada bibit kalimah. Tulisan itu seakan pernah dikenalinya...12 Mac 200112.00 pm.Assalamualaikum..Secebis catatan ikhlas buatmu...Azman,Aku bersyukur kepada Allah.. kerana masih memberikanku kesempatan untuk mencoretkan warkah ini khas buatmu. Seorang insan yang pernah ku kenali.. seorang insan yang pernah bertamu di hati ini.. mencetus nostalgia indah yang manis untuk diingati.. ketahuilah Azman, sesungguhnya aku masih mengasihimu sehingga kini..Azman,Kala ini aku berada di dalam satu alam yang menjadi destinasi impian sekalian makhluk. Ya.. makhluk ciptaan tuhan. Aku masih mengingati saat-saat kita bersama suatu ketika dahulu. Aku merindui saat itu.. satu-satunya saat dan ketika aku dapat mengecapi betapa lazatnya syurga dunia, impian setiap insan yang bergelar gadis.. terima kasih Azman.. terima kasih..Aku rindu pada bicaramu, segala peringatanmu padaku. Masih ingatkah engkau pada buku 'Rabiatul Adawiyah' pemberianmu? Buku itu sentiasa berada bersamaku. Aku sentiasa menjadikan semangatnya, jiwanya dan hatinya sebagai penyubur jiwaku untuk aku meneruskan kehidupanku ini.. aku teringin untuk menjadi sepertinya, aku berhasrat untuk memiliki semangatnya.. "Mei Ling.. ini satu pemberian buatmu, baca dan hayatilah.." cetus Azman sambil menyerahkan buku tokoh mukminah itu. Mei Ling kelihatan gembira."Rabiatul Adawiyah?" cetus Mei Ling."Ya Mei, seorang tokoh wanita Islam yang mengabadikan jiwa raga, cinta dan segala-galanya kepada tuhan..""Wow! It's nice.. thanks Azman.." getus Mei Ling. Wajahnya tampak berseri. Matanya menampakkan sinar ceria yang sukar digambarkan.Saat itu masih tersemat kemas di jiwa Azman. Saat yang membuahkan perkenalan rapat antara mereka. Melalui buku itulah Mei Ling semakin karib dengan agama suci ini. Saat itu digunakannya sebaik mungkin untuk menyampaikan risalah kudus misi junjungan tercinta. Dia tidak tahu apa yang terjadi kepada gadis itu setelah hampir dua tahun berlalu. Hubungannya dengan gadis itu tidak direstui oleh keluarganya.Suatu ketika, semakin hari ku merasakan tercambah subur di jiwaku rasa ingin tahu mengenai agamamu Islam. Persoalan demi persoalan menghantui diriku. Aku kagum dengan Rabiatul Adawiyah. Aku kagum dengan perawakanmu sebagai seorang muslim. Aku mula mendekati kenalanku yang sudah memeluk Islam. Aku mulai membeli buku-buku agama suci ini buat menambah koleksi. Rasa asyik dan kagum mula menyelinap ke jiwaku tentang kelembutan agama Islam. Agama ini memelihara wanitanya. Agama ini menjaga penganutnya. Ya Allah.. aku sungguh bertuah.. Sehingga suatu hari, aku menyatakan padamu hasratku untuk seaqidah denganmu, kau cukup gembira.. dan kau semakin rancak menghulurkan bantuan dan peringatan buatku. Azman.. ketahuilah, aku cukup mengingati dan merindui saat itu..Azman, Saat dan tika kau guguskan kata untuk kita berpisah, hatiku tidak keruan. Aku terus-terusan menangis dan kehidupanku tidak terurus. Wajahmu, tawamu, sering menghuni mindaku. Kau tahu Azman, betapa berat dan parah hati ini bila melihat kau melangkah meninggalkanku. Namun, aku menyayangimu Azman, aku tidak mahu diriku menjadi penghalang untuk kau mengecap nikmat kebahagiaan. Ku relakan pemergiaanmu. Akan kujadikan kasihmu sebagai penguat jiwaku untuk aku meneruskan kehidupan. Namun aku hanya seorang wanita Azman. Wanita yang lemah. Aku hampir kehilangan jiwa. Ibu dan ayahku hanya sibuk dengan urusan harian mereka. Ke mana hati ini ingin mengadu.. ke mana ingin ku cari penawar luka.."Mei Ling.. maafkan aku, mak dan ayahku tidak merestui hubungan kita, mereka telah memilih calon isteriku, dan aku akan bernikah bulan hadapan.."Azman masih mengingati lafaz dan kata-kata terakhirnya kepada gadis itu. Waktu itu, Mei Ling tidak menjawab. Sekadar menekup wajahnya. Dia melepaskan tangisan. Azman pantas bersimpati. Dia dihantui perasaan serba salah."Mei.. kau tak apa-apa?" Mei Ling sekadar menggelengkan kepala. Telapak tangannya masih tertekup di wajah putihnya yang kehilangan seri. Dia tidak mampu menatap wajah Azman. Hatinya berkocak menahan sebak."Go away please!" getus Mei Ling bersama sedu sedan. Sebaik mungkin dia cuba menahan esakan agar tidak menarik perhatian pengunjung kafeteria itu. Berita itu cukup mengguris hati dan perasaannya. Dia terasa kehilangan, cukup perit sembilu itu menusuk tangkai hatinya.. pedih!"Mei.." cetus Azman. Jika tidak kerana keredhaan ibu bapa sudah lama dia memperisterikan gadis itu. Jiwa Azman dirundung sebak melihat Mei Ling dalam keadaan begitu."Just go!" bentak Mei Ling. Nadanya kali ini ditinggikan. Jiwanya sesak dengan luka yang tersayat. Azman melangkah meninggalkan gadis itu bersama wajah yang tunduk memandang bumi. Hatinya sedaya upaya ingin menerangkan hakikat sebenar kepada gadis itu. Serasa sebak di jiwanya bila mengenangkan keadaan gadis itu kelak. Namun.. Nostalgia itu kembali menggamit ingatan Azman. Dia menarik nafas sebak. Rasa bersalah mula menyelinap ke jiwanya. "Ya Allah, maafkan aku Mei Ling.." cetus Azman perlahan. Hatinya pedih. Azman,Beberapa minggu selepas itu, aku menemui seorang kenalan bernama Nur Atikah. Dia rakan sekuliahku. Dia cukup baik Azman. Dia banyak menasihatiku. Lantas.. ku gagahi jua kehidupan rodaku untuk terus mendalami agama Islam.. dia ku jadikan rakan dan guruku..Azman.. kau tahu, sebaik sahaja berita aku menganut agama Islam sampai ke pengetahuan keluargaku, aku menerima tentangan yang hebat dari mereka. Suatu ketika dahulu.. kau melihat aku sebagai seorang gadis yang menawan dan kaya.. namun kala ini, aku hanya punya sebungkus roti untuk bekalan hidup selama seminggu.. mereka juga menyekat pengeluaran wangku di dalam bank, aku dihalau keluar dari rumah kelahiranku.. ke manakah harus aku berlindung Azman? Ke mana?!Ketahuilah.. keinginan dan tekadku mengatasi segala.. biarlah seribu mehnah yang mendatang, akanku tempuhi jua demi kerana cintaku pada-Nya.. Allah telah mempermudahkan urusanku Azman, Nur Atikah menjemputku tinggal bersamanya.. Alhamdulillah, aku bersyukur.. dia seorang sahabat yang sejati Azman.. Suatu hari.. Tidak ku duga, Nur Atikah meninggalkanku buat selama-lamanya. Dia hanya menitipkan kata semangat buatku di akhir hayatnya. Nur Atikah menghembuskan nafas terakhir di ribaanku. Dia menghidap Leukimia Azman, dia merahsiakan perkara itu dari pengetahuanku.. aku menitiskan air mata.. jiwaku kehilangan buat yang ke sekian kalinya Azman.. namun kali ini, aku lebih kuat dari sebelumnya walaupun kehidupanku hanya sebatang kara.. aku meneruskan kehidupanku sebagai seorang muslimah sebagaimana yang kita impikan bersama.. aku akan meneruskan langkahan ini selagi hayat di kandung badan.. masih kuingati kata-kata Nur Atikah di akhir hayatnya.. "Mei Ling, kau punya potensi untuk memiliki jiwa seperti Rabiatul Adawiyah.." Dialah sahabat sejatiku, dialah sahabatku dunia akhirat.. dialah insan yang bernama Nur Atikah..Azman dapat melihat tompokan air mata bila membaca bibit ini. Tulisan pada tompokan itu kelihatan sedikit pudar."Ya Allah, Mei Ling.. sungguh hebat pengorbanan dan semangatmu.." cetus Azman sendirian. Matanya berkolam air.Azman,Suatu hari.. ku mendapat berita bahawa rumah yang menjadi tempat perlindunganku bersama Nur Atikah sebelum ini akan dirobohkan, kerana tanah itu telah dijual kepada orang lain.. aku lekas faham, itu adalah angkara ayahku.. aku terus mengemas pakaian dan mengambil beberapa helai tudung pemberian Nur Atikah. Rumah hidayah itu ku tinggalkan.. namun, ke manakah yang harus ku tuju?! Ku boleh bertahan dalam menerima dugaan ini, namun Azman, tidak mampu ku tahan sebak di jiwa.. aku menangis.. dan dalam keadaan sedu sedan, aku terus melangkah ke arah sebuah masjid, aku berwudhuk dan menyerahkan jiwa ragaku pada malam itu kepada Allah, tuhanku.. sehingga ku lena dibuai mimpi angkara keletihan yang merajai diriku..Dalam lena.. kedengaran seorang wanita memanggil-manggilku.. kala itu waktu subuh, wajahnya kelihatan tenang.. Allah mengurniakanku wanita itu untukku meneruskan kehidupan sebagai seorang muslimah.. aku semakin yakin dengan akidah yang ku miliki.. aku mengenali wanita itu dengan gelaran Ustazah Fatimah.. lantas mengimbas kembali bicaramu mengenai Fatimah anak Rasulullah.. ya, masih subur di mindaku.. sememangnya peribadinya laksana Fatimah buah hati Rasulullah.. aku mengaguminya dan banyak mempelajari aqidah yang suci ini darinya.. terima kasih tuhan.. terima kasih.."Fatimah adalah anak kesayangan Rasulullah, dia mempunyai peribadi yang unggul, dia mempunyai jiwa yang kuat, dia adalah isteri kepada sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah, sahabat yang dimuliakan wajahnya oleh Allah, Saidina Ali Karamullahu Wajhah" Mei Ling kelihatan mendengar dengan penuh minat. Dia menganggukkan kepalanya. Matanya bersinar. Seolah suatu semangat menyelinap ke jiwanya. Seolah suatu kuasa telah menerjah ke nalurinya."Ya Allah, Kau peliharalah wanita ini.." cetus Azman. Memori itu tidak akan dilupakannya. Akan disemat kemas di jiwanya. Dia meneruskan bacaan warkah itu. Beberapa bibit terakhir warkah itu membuatkan Azman semakin disimbah rasa sebak yang mengharukan.Suatu hari.. aku pengsan di kamar mandi. Ustazah Fatimah dan suaminya lekas membawaku ke hospital. Aku terpaksa ditahan di wad. Saat itu ku gunakan sebaik mungkin untuk mendekati Allah. Selang beberapa hari.. doktor memberitahuku suatu khabar yang cukup menyentak jiwaku.. menggegarkan naluriku.. aku disahkan menghidap barah otak Azman.. ya Allah.. ya tuhan.. kenapa ini berlaku kepada diriku? Namun Azman, aku lekas faham dan yakin.. bahawa Allah mengingini aku pantas menemui-Nya.. untukku mengecap nikmat kasih di sisi-Nya..Mata Azman berkolam air. Naluri kelelakiannya berkocak hebat."Ya Allah.. hebatnya dugaan-Mu" getus hatinya. Air mata mengalir perlahan ke pipinya. Tidak disangka sampai begini pengorbanan jiwa gadis ini. Seorang gadis yang pernah dikenalinya. Seorang gadis yang pernah menghuni hatinya.Azman,Ketahuilah.. mungkin tika dirimu membaca warkah ini, aku sudah pergi jauh bersama kenangan manis kita bersama.. ku gugus kata dan bicara ini khas buatmu.. agar dirimu mengetahui bahawa aku ingin memeluk agamamu, yang kini agamaku, bukan semata-mata kerana kasih dan cintamu.. tapi kerana keikhlasanku dan hidayah yang bertamu di lubuk hatiku, doakanku agar senantiasa sejahtera di alam abadi..Mei Ling yang kini..Rabiatul Adawiyah.3.00 pm.Kring! Kring! Azman tersentak. Pantas dia mengangkat gagang telefon."Assalamualaikum.. abang ke?" Azman lekas mengenali suara isteri tersayang.'Ye.." jawab Azman. Nadanya sebak."Abang.. abang tak apa-apa ke?" soal Khadijah. Bicaranya kerisauan."Tak apa-apa sayang.." ujar Azman. Rasa gusar di jiwa cuba dikekang."Abang.. inikan isteri abang, kalau ada apa-apa masalah kita kongsi ye, masalah abang, masalah umi juga, bila abang nak balik? Umi dah masakkan pisang goreng ini.." cetus Khadijah. Dia lekas memahami."Ok.. kita cerita di rumah ye sayang, abang balik ni" jawab Azman. Hampir terlupa dengan waktu yang tanpa simpati terus berlalu. Dia melipat warkah itu perlahan. Pantas dia mencapai begnya dan terus menuju ke tempat letak kereta.Perjalanan hanya memakan masa tiga puluh minit. Jalan tidak terlalu sesak hari itu. Di dalam kenderaan mindanya sering dirundung persoalan. Jiwanya tidak tenang. Masih subur di benaknya bibit kalimah yang ditatap. Masih segar di ingatannya detik-detik bersama Mei Ling."Azman.. kenapa agamamu tidak membenarkan kita bersentuhan?" soal Mei Ling suatu hari."Persoalan itu, perlu perbahasan, tapi Mei.. agamaku secara hakikatnya ingin menjaga penganutnya agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang bisa menghancurkan maruah diri, jadi, dari awal lagi agamaku mewajibkan kepada wanita untuk menutup aurat, Mei dapat melihat gejala-gejala seperti pembuangan anak kan?.." soal Azman. Mei Ling menganggukkan kepala."Itulah kesannya, selagi belum menjadi muhrim, maka Islam mengharamkan.." jelas Azman. Dia cuba menerangkan dengan penjelasan paling mudah. Relevan dengan situasi dan kefahaman mad'u."Hmm, bagaimana mahu menjadi muhrim?" soal Mei Ling. Lahjahnya sedikit pelat. Azman tersenyum."Kahwin.." getus Azman bersahaja. Mei Ling kelihatan tersipu-sipu.Nostalgia manis itu masih terakam kemas di skrin ingatan. Kereta Proton Wira itu membelok kemas memasuki kawasan perumahan itu. Azman meletakkan kereta di garaj. Khadijah kelihatan tercegat di hadapan pintu menanti kepulangan suami tersayang. Tiba di dalam rumah dia terus mengkhabarkan kepada isterinya mengenai perkara itu. "Apa kata kalau kita cari dia bang.." cadang Khadijah. Dia tampak bersimpati dan bersedia menghulurkan bantuan buat suami tercinta."Tapi abang tak tahu dia di mana sekarang ni.." getus Azman. Kelihatan Munirah berlari-lari mendapatkannya. Dia memangku anak kecil itu. Seketika kemudian dia pantas mengingati warkah yang tidak bersetem."Eh.." cetus Azman. Khadijah sekadar memerhati. Azman pantas bangun dan menyerahkan Munirah kepada Khadijah. Punat telefon ditekan."Assalamualaikum.. Amir""Wa'alaikum salam warahmatullah.. ha, ada apa Man?" soal Amir."Aku nak tanya mengenai surat tadi, dari mana kau kau dapat?" soal Azman tidak sabar."Aku terima dari kawan yang bekerja di Hospital Bestari, dia doktor di situ, dia suruh sampaikan pada kau, ada apa-apa yang perlu aku bantu?.." getus Amir."Err.. tak ada apa-apa Mir, terima kasih.." cetus Azman. Gagang itu diletak.Pantas dia memberitahu Khadijah mengenai perkara itu. Mei Ling pasti berada di Hospital Bestari. Mereka sekeluarga bersiap. Seketika kemudian perlahan sayup enjin kereta meninggalkan kediaman itu."Maaf cik, boleh saya tahu di mana pesakit yang bernama Mei Ling?" soal Azman sebaik tiba di hospital itu. Jururawat itu kelihatan meneliti senarai nama pesakit."Maaf encik, tak ada pesakit yang bernama Mei Ling.." getus jururawat itu. Azman kelihatan kecewa."Maksudnya.. pesakit yang bernama Rabiatul Adawiyah binti Abdullah.." getus Khadijah sambil mendakap Munirah. Dia tersenyum memandang suaminya."Oh, nama tu ada, tapi.." wajah jururawat itu sedikit berubah."Tapi kenapa?" soal Azman."Dia baru sahaja menghembus nafasnya yang terakhir setengah jam yang lepas.." getus jururawat itu. Azman sebak. Jiwanya seakan ada sesuatu yang menghimpit. Khadijah kelihatan memaut tangan suaminya. Dia memahami apa yang dirasai oleh suaminya kala itu."Bang.. Allah lebih sayangkannya bang, kita berdoalah agar rohnya dirahmati dan diberkati Allah, pasti dia tidak mahu kita bersedih dengan kematiannya kan bang.." cetus Khadijah. Bicara yang sesuai dengan namanya. Isteri yang pernah menenangkan Rasulullah sekembalinya baginda dari gua Hirak selepas menerima wahyu pertama.Azman hanya mengangguk perlahan. Jiwanya sedikit tenang. Dia kagum dengan azam dan tekad gadis itu. Ya.. dia seorang gadis. Akan dijadikan jiwanya, semangatnya, perjuangannya kekal menjadi penyubur semangat dan cita."Kekallah kau di sana bersama rahmat dan kasih-Nya.." getus hatinya. Dia memimpin tangan Khadijah yang mendakap Munirah kembali ke rumahnya bersama seribu satu doa pengharapan.TAMATOleh : Amiza Khusyri Yusof ( Putera Kesuma )

If you enjoyed this site, make sure you subscribe to my regular Email Updates!

Related Posts by Categories



Widget by www.udnamafaza.com
 
Design by www.udnamafaza.com | blog.udnamafaza.com | Privacy Policy | Disclaimer | Contact Us | Add to bookmark (Ctrl+D)